Iklan

Iklan Untuk DIsewa

Confirm Ker Ahli Keluarga Anda Selamat?

Confirm Ker Ahli Keluarga Anda Selamat?

Pengalaman Ngeri Rumah Kena Pecah Masuk

gadget-pro | 6:30 PTG | 0 ulasan

Pecah Masuk Rumah pengalaman mengerikan

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia, kes pecah masuk rumah semakin menjadi-jadi dengan aksi yang semakin berani. Kes terbaru seorang lelaki gila seks telah memecah masuk rumah untuk mencuri pakaian dalam tetapi malang tersilap langkah apabila rumah yang dimasuki adalah milik seorang anggota polis. Kes yang lain rumah ibu kepada Wakil Rakyat Balik Pulau, Pulau Pinang telah dipecah masuk jam 4.00 am dan berjaya melarikan barangan berharga dan wang tunai. Sebelum itu 5 lelaki Indonesia diberkas kerana pecah rumah kerabat Di Raja Selangor.

Gambar Hiasan


Apa perasaan kita apabila membaca berita penjenayah pecah masuk rumah sehingga ada yang dirogol dan terkorban? Pecah masuk rumah pengalaman mengerikan kepada yang pernah melalui. Mungkin tidak terasa sangat sehingga terkena batang hidung sendiri seperti kami.

Suboh 12/7/2012 tidur nyenyak kami sekeluarga diganggu. Aku, isteri dan anak perempuan bongsu sedang tidur di bilik dikejutkan oleh beberapa lelaki bertopeng. Seorang lelaki sedang bersedia mengikat tangan aku dengan dawai hijau manakala seorang lagi sedang bersedia mengikat tangan isteri dengan wayar iPhone. Seorang lelaki menghulurkan pisau daging sambil meminta kami diam dan katanya mereka hanya nak duit sahaja. Daripada bahasa yang dipertuturkan sangat jelas loghat Indonesia tetapi bukan Jawa atau Padang atau Aceh mungkin bahasa Flores.

Aku, isteri dan anak perempuan bongsu terbaring dikatil dikelilingi beberapa lelaki yang sedang mengeledah almari pakaian dan almari solek. Aku terfikir apa yang terjadi kepada anak perempuan 14 tahun dan anak lelaki 9 tahun yang tidur di bilik bawah. Ketika itu aku sudah mengambil keputusan untuk tidak melawan kerana nyawa keluarga lebih bernilai daripada segala barang dan wang tunai. Di dalam hati aku terdetik ini sebagai ujian daripada ALLAH SWT di atas apa juga ke khilafan aku sebagai hamba Allah. Lega rasanya apabila anak perempuan aku dibawa masuk ke bilik dengan tangan terikat juga.

Dalam bilik aku memang tak ada banyak barang berharga. Salah seorang penjenayah agak marah dan bertanya di mana emas. Beliau menarik isteri dan dibawa untuk menunjukkan tempat simpanan emas dengan seorang penjenayah berdiri di samping aku. Isteri aku bukanlah seorang yang begitu minat dengan emas jadi memang tak ada banyak simpanan emas. Setelah beberapa minit isteri aku dibawa masuk kembali ke bilik. Selang beberapa minit penjenayah itu beredar dari bilik aku sambil meminta aku untuk tidak berbuat apa-apa kalau nak anak lelaki aku yang masih di bawah selamat. Setelah merasa penjenayah sudah keluar aku membuka ikatan tangan isteri dan anak perempuan dan terus turun ke bawah untuk melihat anak lelaki. Anak lelaki aku sedang tidur nyenyak lansung tidak sedar kejadian yang berlaku.

Anak perempuan aku yang pertama melihat 5 lelaki Indonesia masuk melalui dapur kerana kebetulan ketika itu jam locengnya berbunyi. Isteri aku cakap punyalah gembira penjenayah sampai mengigil-gigil memasukan duit yang mereka perolehi. Harap-harap mereka tak kecewa kerana duit yang mereka ambil itu adalah gabungan duit Rupiah, Yuan, Hong Kong Dollar, Singapore Dollar, USD, Euro dan paling banyak duit Republik Czech yang semuanya dalam dominasi kecil. Selain daripada wang tunai mereka rembat barang kemas, paling mahal koleksi jam tangan aku dan isteri dan semua tujuh biji berbagai jenis smart phone, tiga buah laptop termasuk yang terbaru ultrabook kesayangan Toshiba Portege Z830.

Walaupun berbagai barang berharga hilang syukur kepada ALLAH SWT kerana tiada yang cedera atau dicabul sebagaimana yang berlaku pada yang lain. Harta benda boleh dicari tetapi nyawa tiada nilainya. Hari ini kami dihukum ALLAH SWT kerana kesilapan kami tetapi pasti suatu hari nanti ALLAH SWT akan menghukum penjenayah dengan hukuman yang lebih dahsyat.

Teman bangsa Cina selalu ingatkan aku supaya simpan sedikit wang tunai di rumah jadi kalau berlaku pecah rumah penjenayah tidak akan beraksi agresif kerana mereka mendapat apa yang mereka nak. Penjenayah selalu akan bertindak kejam dengan mencederakan tuan rumah atau mencabul apabila tidak mendapat wang atau barang berharga setelah bersusah payah memecah masuk rumah. Lagi satu tips jangan berlagak hero melawan hanya kerana nak meyelamatkan beberapa belas atau puluh ribu ringgit. Nyawa lebih bernilai dari segala-galanya.

Terima kasih kepada semua kaum keluarga dan rakan-rakan yang mengucapkan simpati dan menziarahi kami. Siapa kata tiada teman semasa susah! Doakan semuga isteri yang masih phobia sehingga tidak dapat tidur malam pertama selepas kejadian supaya dapat melalui masa susah ini dengan tenang.

Category:

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 ulasan