Hisap syabu sebelum pecah rumah
|
THAIVEEGAN (tengah) menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas daripada
lima suspek kes pecah rumah di Balai Polis Seri Kembangan semalam. |
KUALA LUMPUR – Lima lelaki yang bekerja sebagai tukang rumah rupa-rupanya turut melakukan ‘kerja sambilan’ sebagai penjenayah pecah rumah.
THAIVEEGAN (tengah) menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas daripada
lima suspek kes pecah rumah di Balai Polis Seri Kembangan semalam.
Mereka yang dikenali dengan gelaran Geng Ah Soon mengambil upah membaiki rumah mangsa dan pada masa yang sama memerhatikan selok-belok rumah itu sebelum dipecah masuk.
Ahli kumpulan yang berusia antara 28 hingga 43 tahun itu menyewa sebuah rumah di Taman Sungai Besi Indah di sini dan ia dipercayai menjadi lokasi intipan dan markas merancang jenayah.
Namun, kegiatan yang dilakukan sejak setahun lalu dengan diketuai seorang lelaki yang masih bebas dikenali sebagai Ah Soon terbongkar selepas polis menahan mereka di rumah sewa tersebut pada Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, polis berjaya menjejaki kumpulan itu selepas menerima maklumat mengenai tiga kejadian pecah rumah di Taman Bukit Serdang dekat sini.
“Kumpulan itu dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Serdang, Kajang dan Cheras dengan memilih waktu awal pagi ketika penghuni rumah keluar berjoging.
“Kita mengesyaki sebelum melakukan jenayah itu kesemua suspek mengambil dadah jenis syabu bagi menghilangkan rasa takut,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan di sini semalam.
Source: Kosmo
Konsep kejiranan lemah punca jenayah pecah rumah di musim perayaan
KUALA LUMPUR: Konsep kejiranan yang lemah adalah antara punca kejadian jenayah pecah rumah terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Kebiasaannya pada hari itu, masyarakat Islam di ibu kota khasnya akan meninggalkan rumah untuk satu jangka masa yang agak panjang untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing.
Oleh itu, kecenderungan untuk berlaku jenayah seperti pecah rumah dan kehilangan kenderaan amat besar, demikian menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah.
Katanya, walaupun kegiatan pecah rumah terutama pada musim perayaan masih ada tetapi kegiatan mencuri kenderaan jarang berlaku kerana kepekaan oleh jiran-jiran tetangga.
"Seorang penyamun memerlukan dua atau tiga minit untuk memecahkan pintu kereta dan tempoh waktu itu jiran-jiran terdekat dan peka sempat untuk menahan penyamun tersebut," katanya ketika di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata, walaupun terdapat rondaan yang kerap semasa musim perayaan tetapi jika tiada keprihatinan jiran ia menyukarkan pihaknya untuk mendapatkan maklumat.
"Rondaan kerap dilakukan pada waktu siang dengan cara berjalan kaki, menaiki motosikal atau MPV dan jika berjalan kaki lebih memudahkan kerana pantauan yang teliti di dalam sesebuah rumah jelas dilihat," katanya.
Beliau berkata, selain keprihatinan jiran tetangga, wujudnya balai polis bergerak yang menjadi pusat operasi di kawasan-kawasan panas akan mengelakkan berlakunya sebarang jenayah.
"Pada musim perayaan, balai tersebut diletakkan secara kekal dan pihaknya akan memantau kenderaan yang keluar dan masuk terutama pada waktu malam dan sesiapa yang dilihat mencurigakan akan ditahan dan diperiksa," katanya.
Beliau juga menasihatkan semua warga Kuala Lumpur yang ingin pulang ke kampung supaya jangan meninggalkan barang yang berharga di dalam kereta bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah. - Bernama
Pelajar sekolah dalang Pecah Rumah
” Pasti ramai yang bertanya “Apa dah jadi???” “ siapa yang nak dipersalahkan ???” Semua soalan ni dah tak penting……. yang penting sekarang apa puncanya ? dan bagaimana nak atasinya? “
KOTA TINGGI Tanda tanya penduduk sekitar Pengerang di sini mengenai dalang yang memecah masuk 10 buah rumah di situ sejak beberapa bulan lalu terjawab apabila polis menahan tujuh remaja bergelar Geng Basikal pada Ahad lalu.
Ketika serbuan pada pukul 4.20 pagi di Jeti Ah Wah, Jalan Pantai, Sungai Rengit di sini, kesemua suspek berusia di antara 14 dan 16 tahun dengan empat daripada mereka masih bersekolah berada dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai sedang merancang sesuatu.
Difahamkan, mereka mendapat gelaran tersebut kerana akan menaiki basikal jika hendak melakukan jenayah pecah rumah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, sebaik dihampiri, kesemua suspek cuba melarikan diri tetapi gagal.
Siasatan awal mendapati mereka terlibat sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah termasuk di Kampung Sungai Rengit, Kampung Teluk Ramunia dan Kampung Sungai Kapal dekat sini, katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Petikan dari : kosmo.com.my
Pecah Rumah Ala Toyol
KUALA TERENGGANU: Kehebatan seorang lelaki yang melakukan pencerobohan ala toyol apabila berbogel ketika memecah masuk rumah mangsa akhirnya tewas selepas dia ditahan sepasukan anggota polis, awal pagi, semalam.
Toyol dari Kampung Losong Haji Su, di sini, yang menjadi buruan polis selepas terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar kampung berkenaan ditahan di hadapan surau Kampung Losong Haji Mohd kira-kira jam 6.20 pagi.
Penahanan toyol berusia 20 tahun itu dilakukan Cif Inspektor Narizan Jusoh dan tiga anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bersama enam anggota dari Balai Polis Chabang Tiga selepas menerima laporan seorang guru wanita berusia 31 tahun kelmarin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din, berkata mangsa menyedari rumahnya di Kampung Losong Haji Mohd diceroboh selepas terdengar seperti orang sedang menyelongkar barang dalam bilik tidurnya, jam 3.45 pagi.
Beliau berkata, terkejut melihat kelibat lelaki sedang menyelongkar beg tangannya, mangsa kemudian menjerit, menyebabkan suspek melarikan diri bersama beg tangan mangsa yang mengandungi kamera digital, kunci kereta, kunci rumah, kad kredit, buku akaun Tabung Haji dan wang tunai RM250 serta beberapa dokumen pengenalan diri.
TIPS ELAK & CEGAH PECAH RUMAH
CARA MENCEGAHNYA:
Perlindungan SECARA FIZIKAL ·
- Pasangkan 'door viewer', penyelak pintu utama
- Pintu utama perlu diperbuat dari bahan yang kukuh dilengkapi dengan sistem kunci yang berkualiti.
- Pasangkan pagar besi berkunci pada tingkap rumah anda.
- Simpan tangga dan alat-alat di tempat yang selamat supaya penceroboh tidak menggunakan ia untuk memasuki rumah anda.
- Potong ranting-ranting pokok dan semak-samun sepanjang pagar rumah anda yang membolehkan penceroboh menyembunyikan diri di halaman rumah anda.
- Pasang lampu yang mempunyai alat pengesan untuk mengawal halaman serta boleh mengesan penceroboh.
langkah berjaga-jaga
- Kuncikan pintu dan tingkap apabila meninggalkan rumah anda walaupun untuk masa yang singkat.
- Jangan sembunyikan kunci di bawah alas kaki, di dalam pasu bunga atau di atas kotak meter elektrik di luar rumah anda.
- Jangan meninggalkan nota yang menyatakan ketiadaan anda di rumah.
- Gantikan semua kunci apabila kunci rumah anda hilang atau dicuri.
- Hentikan hantaran (contoh: surat khabar) apabila anda tiada di rumah untuk beberapa hari.
- Biarkan radio terpasang di waktu malam untuk mewujudkan suasana rumah yang berpenghuni.
- Simpan wang tunai di bank dan barang kemas anda dalam peti simpanan keselamatan.
- Minta tolong jiran sebelah rumah anda untuk tengokkan rumah anda sepanjang ketiadaan anda di rumah.
Tindakan pantas polis, berjaya tahan suspek kes pecah rumah
DITAHAN: Polis menyoal siasat suspek ekoran penemuan empat unit pembesar suara dari dalam kereta miliknya.
KUCHING: Tindakan pantas anggota polis semalam membawa kepada penahanan operator gerai makan berhubung kes pecah rumah di Semariang dua hari sebelum itu.
Bertindak daripada maklumat diterima, polis bergegas ke sebuah kedai kopi terletak di Pending sekitar jam 11 pagi dan menahan suspek berusia 28 tahun yang seterusnya membawa polis ke kereta miliknya yang dipakir di belakang premis berkenaan, di mana suspek menyimpan barangan dicurinya.
Usaha polis menyelongkar kereta milik suspek telah menemukan sebuah pemain DVD dan peralatan audio lain yang dipercayai barangan yang dicuri dari rumah mangsa pada 7 Jun lalu.
Polis juga mendapati suspek telah mencuri satu set televisyen berskrin leper bersaiz besar yang dicuri dari rumah yang sama.
Suspek dari Kampung Pinang Jawa, ditahan reman bagi membantu siasatan dan menentukan sama ada wujud pihak lain bersubahat dengannya melakukan jenayah tersebut.
Dalam insiden berasingan, pertembungan dua kereta di Samarahan Tabu lalu menyebabkan seorang pemuda, 26, dari Muara Tebas maut dalam kemalangan.
Mangsa dalam perjalanan menuju ke Kuching menumpang kereta Perodua Viva yang dipandu rakannya ketika kereta itu bertembung dengan kereta jenis Perodua Kancil sekitar jam 6.45 petang.
Kes Pecah Rumah Berleluasa di Lavender Heights Seremban
SEREMBAN 3 Mei - Penduduk taman perumahan Lavender Heights, Senawang dekat sini, dinasihatkan supaya berwaspada dengan kehadiran individu yang tidak dikenali terutamanya pada waktu siang.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lavender Heights Fasa 1, Pazilan Abd. Hadi memberitahu, wujud kumpulan tertentu yang menjadikan rumah kosong tanpa penghuni sebagai sasaran merompak dan pecah masuk.
Kes Pecah Rumah Berleluasa di Lavender Heights Seremban
"Berwaspadalah dengan taktik ini dan sentiasa perhatikan kawasan sekeliling kita, yang dilihat boleh menjadi laluan keluar masuk penjenayah sama ada waktu siang mahupun malam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi KRT Lavender Heights Fasa 3, Mohammed Sharif dan beberapa jawatankuasa Skim Rondaan Sukarela (SRS) taman tersebut. Terdapat lebih 1,000 buah rumah pelbagai model di taman perumahan berkenaan.
Katanya, berikutan banyak kerja pembinaan termasuk pengubahsuaian rumah di taman berkenaan, pemantauan juga perlu dibuat ke atas pekerja asing yang keluar masuk ke kawasan ini.
"Rumah kosong, pagar yang bocor, kawasan tadahan hujan yang penuh dengan semak samun serta kealpaan penduduk, dikhuatiri menjadi pilihan terbaik kepada penjenayah untuk melakukan pecah masuk di rumah tanpa penghuni," katanya.
Dalam kejadian semalam, sebuah rumah di Fasa 1 di sini telah dipecah masuk perompak menyebabkan beberapa barangan elektrik, barang kemas dan wang tunai lesap akibat dikebas penyamun ketika penghuninya balik ke kampung pada hujung minggu.
"Kita perlu juga mengingatkan pembantu rumah yang kadangkala tinggal bersendirian bersama anak-anak supaya tidak membuka pintu atau pagar dan membenarkan orang yang tidak dikenali memasuki rumah," katanya.
Justeru Pazilan meminta, penduduk di taman perumahan itu mengambil sikap berjaga-jaga dan segera menghubungi pihak polis jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
Sumber: Utusan
Ambilah Iktibar Dari Mangsa Insiden Pecah Rumah ini!
Catitan dari mangsa perompak :
Saya terpaksa mengambil beberapa hari cuti kecemasan kerana pada malam semalam iaitu pada kira-kira 12.30 malam (hari isnin malam selasa 20th Oct 2009), rumah saya telah dimasuk oleh 3 orang lelaki berbangsa melayu (berusia 20an).
1. Saya di ikat tangan kebelakang, di tanggal pakaian dan diambil gambar sebagai ugutan. Sekiranya saya melaporkan kepada phak polis mereka akan menyebarkan gambar tersebut.
1. Kemudian mereka meminta wallet saya. Saya dipaksa memberikan pin number ATM (both maybank & cimb). Mereka menyepak/terajang bila no pin yg saya berikan "salah". (kerana ada gang mereka yg pergi ke ATM). Saya di "hostage" oleh 3 orang lelaki sementara yg lain ke ATM. Malangnya ATM mesin tidak boleh digunakan selepas pukul 12 tgh malam. Mereka terpaksa menunggu hingga pukul 6 pagi bau keluar dari rumah saya. Sementara menunggu, setiap sudut rumah saya di geledah. Mereka juga meminta saya password & id internet banking (maybank2u) kerana mereka ternampak bil2 yg telah saya bayar menggunakan maybank2u. Walaupun di pukul saya berjaya menipu yg transaksi tersebut di buat menggunakan computer pejabat dan password di lock dalam komputer tersebut. Sekiranya saya melihat atau bersuara, mereka memukul kepala atau menendang saya. Walaupun pada mula nya saya berjaya membuka ikatan tangan, tetapi sukar utk bertindak kerana bimbang mereka akan lebih ganas kerana salah seorang dari mereka memegang pisau yg di ambil dari dapor. Bila mereka sedar ikatan tangan saya terbuka, saya dipukul lagi dan diikat semua kehadapan. Semasa kejadian saya diatas katil dan tidak dibenarkan bergerak.
2. Lebih kurang pukul 5.45 pagi, saya diarahkan meminum secawan air (rasa coklat, tapi pahit). Meraka kata " kami hendak keluar sekarang. Minum dan baring". Saya hanya tersedar dari tidor pada pukul 3 petang, dalam keadaaan "terhoyong hayang" seperti mabuk. Handphone, laptop telah hilang. Talian telefon rumah semua di potong wayar. Dalam keadaaan separuh sedar, saya tidak dapat menghubungi sesiapa kerana semua nombor disimpan dalam handphone.
3. Selepas menyambung semula wayar telefon yg dipotong, saya secara tidak sedar menelifon 999. Dan 30 minit kemudian 2 orang pegawai polis datang. Mereka melihat saya seperti "mabok", mereka tidak benarkan saya memandu ke balai, sebaliknya mengikut mereka. Tiba di balai saya terkejut kerana jam dinding "4 petang".
4. Selepas itu baru saya sedar mengapa mereka memberi minuman tersebut, supaya memberi masa kepada mereka mengeluarkan semua duit dalam account bank saya. Mereka juga menggunakan credit card utk membeli barang. Saya sempat mencetak statement maybank2 "today's transaction".
5. Selain handphone, laptop, mereka juga mengambil kad pengenalan dan lesen memandu, Meraka memaksa saya memberikan nama ibu (utk tujuan pengesahah online oleh pikah bank). Beberapa barangan peribadi lain juga diambil.
6. Oleh sebab itu , saya memerlukan beberapa hari utk membuat kad pengenalan, lesen memandu, kat ATM, pemeriksaan doktok etc. Saya hanya boleh dihubungi menggunakan 03- xx (rumah) atau email. Sekarang saya tidak mempunya card credit utk membeli handphone dengan segara, insya allah selepas selesai saya akan beli.
7. Jumlah kerugian hampir 20 ribu:
a. Cash di rumah rm1500 - rm1800
b. Maybank account RM 7500 (6 kali dikeluarkan kerana limit yg tinggi) & dan transfer account dan pembelian melalui cash card
c. Credit card rm 3,000 (setakat pagi tadi sebelum dilaporkan)
d. ATM CIMB rm 3,000 (nasib baik limitted 3000 per day)
e Accessaries, jam, pen, pakaian (blazer) dalam rm 3,000
Tetapi saya bersyukur kerana tidak di "apa apa kan" hanya dipukul/terajang/tendang. Saya merayu kepada mereka, saya bagi apa yg mereka minta cuba jangan apa apa kan saya. Setakat ini hanya tangan kanan saya yg bengkak dari sakit.
Ramai yg tanya macam mana mereka masuk. Mereka mencapai kunci yg digantung di dinding. (tersorok)
Beberapa pengajaran yg saya dapat:
1. Jangan simpan lebih dari satu atm card atau credit card dalam wallet
2. jangan simpan lebih dari 500 dalam saving or cash account yg ada atm card
3. Jangan melawan ketika kejadian.
Insya allah . saya akan mula berkeja setelah selesai semua.
Awas! Kondominium Mewah Anda Bakal Dipecah Masuk.
Petikan ini diambil dari forum penduduk Cengal Condominium:-
Pecah rumah di Block A Cengal Condominium pada 12/5/2011, sudah report kepada polis dan management.
Hari yang kedua, kami jumpa Kak Lin, jawapnya " Sorry for your lost" tanpa tindakan selanjutnya. Management tidak mengambil berat langsung, buat macam ini bukan hal dia.
Seminggu selepas itu, saya tanya di management office, kerani cakap dia akan panggil bossnya call saya. Sudah hampir seminggu, tiada jawapan langsung…
Bayaran management fee setiap bulan bukannya rendah seperti flat kos rendah. Inikah service yang kita dapat? Selain dari kecantikan kawasan sekeliling, securitylah yang paling penting bagi condominium, betul tak?
Jika rumah condo anda kena pecah masuk pencuri, management biarkan saja. Anda kecewa tak?
Kes pecah rumah tidak diambil berat, adakah security service diulaskan semula dan dipertingkatkan? Anda risau tak? Who will be the next…
Pecah 10 rumah serentak
|
|
JOHOR BAHRU: Dalam tempoh kurang tiga jam, 10 keluarga yang tinggal di tiga blok berasingan di Pangsapuri Bayu Puteri 3, berhampiran Permas Jaya, di sini, kerugian RM200,000 selepas rumah mereka dipecah masuk serentak sekumpulan penjenayah profesional, tengah hari kelmarin.
Kumpulan penjenayah itu didapati memecah masuk 10 unit berkenaan dengan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai dan barang kemas ketika semua mangsa keluar bekerja atau sibuk dengan urusan di luar.
Seorang mangsa, Noraina Mohamad, 25, berkata, dia dan kakaknya, Noramalina Mohamad, 28, hanya menyedari kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja kira-kira jam 8 malam, kelmarin.
Menurutnya, mereka terkejut apabila mendapati jeriji dipotong manakala pintu terdapat kesan umpilan. Sebaik diperiksa, keadaan ruang tamu dan bilik berselerak dipercayai digeledah kumpulan penjenayah itu.
“Kakak terus memeriksa wang tunai RM100,000 yang disimpan di dalam bilik tidur untuk dibayar kepada kontraktor didapati lesap, malah jam tangan berjenama milik abang ipar juga hilang.
“Kami pelik apabila mendapat tahu sembilan keluarga lain turut mengalami nasib sama sedangkan kawasan ini berpagar dan dikawal pengawal keselamatan bertugas 24 jam,” katanya.
Seorang lagi mangsa, B Mogana, 24, berkata, kejadian itu amat mengejutkan berikutan membabitkan 10 rumah dan berlaku dalam tempoh singkat.
Menurutnya, akibat kejadian itu, keluarganya kerugian lebih RM20,000 apabila koleksi barang kemas dan sejumlah wang tunai disimpan dalam rumah lesap.
“Sebelum ini, kami pernah mendengar kejadian pecah rumah di kawasan ini, bagaimanapun membabitkan satu atau dua rumah saja.
“Namun kali ini mereka bertindak lebih berani apabila melarikan pelbagai barangan berharga,” katanya.
Beberapa pemilik yang menjadi mangsa turut kecewa dengan kejadian itu selain sikap lepas tangan pihak pengurusan. Ia berikutan, hasrat mereka meminta penjelasan terhadap kejadian itu gagal, sebaliknya pihak pengurusan menasihatkan mangsa supaya melaporkan kepada polis.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, penjenayah itu dipercayai mengambil kesempatan pecah masuk ketika penghuni tiada di rumah. Menurutnya, pencerobohan itu juga tidak disedari pengawal keselamatan di situ.
“Polis akan meningkatkan pemantauan menerusi rondaan berterusan di kawasan berkenaan.
“Malah siasatan juga dijalankan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kegiatan jenayah terbabit,” katanya.
sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pecah10rumahserentak/Article/index_html
|
Pengalaman Kes Pecah Rumah
Semalam aku tidur pukul 2.00 pagi. Tidur lewat sebab tunggu staff hantar kunci cybercafe dengan duit income punya pasal. Lebih kurang 2 jam aku lelapkan mata, tiba-tiba ayah aku kejut aku. Ayah cakap ada orang ceroboh masuk kawasan premis perniagaan kami yang terletak hanya di sebelah rumah. Aku dalam keadaan terpinga-pinga dan separuh mamai pun bangun. Aku tengok jam menunjukkan pukul 4pagi.
Keluar dari bilik, aku tengok ayah aku terhendap-hendap di sebalik langsir. Siap pegang senapang lagi. Wah! Ini kes serius ni. Lepas tu, ayah aku ajak aku keluar rumah untuk tengok kelibat yang dikatakan tu. Dengan bersenjatakan kayu bambu buta dan torchlight bagi menerangi kegelapan malam, aku keluar mengikut ayah aku.
Sedang kami terhendap-hendap mencari kelibat tersebut, dari jauh aku nampak bayangan dua orang sedang mundar-mandir di hadapan pagar. Aku berbisik memberitahu ayah aku. Memandangkan mereka sudah menaiki motor untuk melarikan diri, ayah aku terus melepaskan tembakan ke langit bagi memberi amaran bahawa mereka mungkin terbunuh jika kembali membuat onar di kawasan kami.
Selepas itu, dengan bantuan tiga orang kampung, kami cuba menjejaki mereka dengan motosikal. Ayah aku dengan hanya berkain pelikat tanpa baju dan senapang patah masih di tangan membonceng di belakang. Namun, kelibat mereka gagal dikesan. Berdasarkan maklumat Gee kedai Pattani depan rumah aku tu, dua orang penyamun tersebut berusia dalam lingkungan 20-an. Dia yang call ayah aku untuk bagitau yang dia nampak ada kelibat mencurigakan di hadapan pagar kami semasa dia sedang menutup kedai. Mujur premis kami selamat dan belum sempat dipecah.
Minggu lepas, masjid baru kampung aku kena pecah. Set amplifier kena curi. Kawasan ni memang line panas. Kalaulah dapat cekup dua ekor malaun penyamun tu tadi, memang lunyai kena balun. Geram betul aku. Diorang bukan sahaja telah menceroboh kawasan rumah aku, malah telah mencuri mimpi-mimpi indah aku! Demm!
Trend baru pecah rumah
KUALA LUMPUR: Kawasan perumahan bertingkat seperti rumah pangsa dan pangsapuri antara ‘hot spot’ terbaru penjenayah melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kegiatan pecah rumah seakan menjadi trend apabila pihaknya sering menerima laporan daripada penduduk berkenaan.
“Jika dulu kegiatan ini sering dilakukan di kawasan rumah teres, kini ia tidak mengira lokasi kerana sesiapa saja berisiko menjadi mangsa,” katanya selepas merasmikan Penubuhan Komuniti Polis atau Community Policing di Pangsapuri Mutiara Magna, Metro Prima Kepong, di sini, semalam.
Katanya, pecah rumah juga antara kegiatan jenayah tertinggi dicatatkan di kawasan perumahan bertingkat.
Beliau turut menggalakkan suri rumah menyertai KP dan bekerjasama dalam memberi maklumat kepada pihak berkuasa.
“Biasanya kegiatan pecah rumah dilakukan waktu siang selepas penghuni keluar bekerja. Sebab itu kita perlukan kerjasama penduduk kerana polis tidak mampu bertindak tanpa maklumat orang awam,” katanya.
Penubuhan Komuniti Polis dianggap sebagai pendekatan praktikal polis bekerjasama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), penduduk setempat dan Rela dalam usaha membanteras jenayah di kawasan masing-masing.
Panduan Pihak Berkuasa Tentang Jenayah Pecah Rumah
Setiap daripada kita boleh mengurangkan risiko rumah dari dicerobohi dengan mengurangkan peluang untuk penjenayah berbuat demikian. Jika anda tinggal di apartmen atau flat jangan biarkan tanggungjawab keselamatan anda pada penyelia bangunan atau pengawal sahaja. Bersama anda dan jiran anda boleh bekerjasama mengurangkan jenayah di dalam bangunan atau kawasan
perumahan anda.
Keselamatan di lobi apartmen
- Sesiapa yang tidak dikenali atau disyaki cuba untuk memasuki bangunan anda mestilah dilaporkan kepada Pengurusan atau pengawal keselamatan
- Jangan benarkan orang yang tidak dikenali atau tidak mempunyai pas untuk memasuki bangunan sewaktu anda masuk atau keluar dari bangunan. Bekerjasama dengan jiran yang lain dengan memastikan pintu-pintu utama sentiasa berkunci
- Guna nama pendek (bukan nama penuh) anda sahaja pada direktori lobi, loceng pintu, peti pos dan direktori telefon
Keselamatan pintu
- Kunci rantai tidak begitu selamat – pasang lubang kanta pintu dan jangan sesekali buka pintu kepada orang yang tidak dikenali
- Jangan biar pintu terbuka, walaupun hanya sebentar untuk membuang sampah
- Jangan tinggalkan apa-apa nota pada pintu atau direktori lobi
- Jika anak kunci hilang, tukar mangga pintu
- Jika anda terlihat orang tidak dikenali membawa keluar barangan daripada rumah jiran, hubungi pengawal keselamatan atau penyelia bangunan. Jika tiada maklumbalas, hubungi 999
Keselamatan di lif
- Perhatikan siapa berada di dalam lif sebelum masuk
- Jangan masuk ke dalam lif jika anda berasa tidak selamat – tunggu giliran lif lain
- Bila berada di dalam lif, berdiri di sebelah panel kawalan
- Jika sesiapa yang disyaki masuk dalam lif, keluar sebelum pintu lif tertutup
Jika jenayah telah dilakukan
- Jangan masuk ke dalam rumah – penjenayah mungkin masih di dalam
- Guna telefon jiran dan hubungi 999
- Jangan sentuh atau bersihkan apa-apa sehingga polis telah memeriksa bahan bukti
- Ambil nombor kenderaan sesiapa yang disyaki
- Ambil maklumat rupa diri orang yang disyaki
KEJADIAN PECAH MASUK RUMAH DI BSP
Salam semua warga BSP, setelah hampir lebih sebulan tiada berita tentang pecah rumah disekitar Komuniti kita ini, hari ini saya terpakasa membuka semula topik jenayah semula dengan dua (2) kejadian pecah rumah yang berlaku pada hari yang sama seperti dibawah ini :
YBhg Dato’/Tuan/Puan yang dihormati,
1. Dua kejadian pecah masuk rumah telah berlaku di BSP pada 14 Jan 2010 seperti berikut:
1.1. No. 11 Jalan SP 3/N (D’Sentral). Tuan rumah kembali dari kerja lebeh kurang jam 3.30 petang mendapati rumah telah dipecah masuk melalui ‘sliding door’. Rumah dipasang dengan gril dan tiada ‘alarm system’. Barang-barang yang dicuri ialah sebuah TV LCD 32” dan sebuah Decorder Astro.
1.2. No. 13, Jalan SP 3/N (D’sentral). Sekembalinya tuan rumah dari kerja lebeh kurang jam 6.30 petang mendapati rumah telah dipecah masuk melalui ‘sliding door’. Rumah dipasang gril dan tiada ‘alarm system’. Barang-barang yang dicuri ialah 1 set Komputer Meja, sebuah Decorder Astro dan sebuah Hi-Fi.
2. Sekian, diimaklumkan untuk pengetahuan semua. Sila salurkan kepada semua komuniti masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga. Merujuk kepada statistik jenayah indek, kejadian terakhir pecah masuik rumah yang berlaku ialah pada 01 Dis 2009 di No. 31, Jalan SP 3/G.
Norizan bin Hj Sulaiman
BHDSB
*nampaknya kita kena fikirkan semula idea untuk menubuh Rukun Tetangga diKomuniti kita ini untuk kebaikan dan keselamatan bersama.
Polis buru suspek utama kegiatan pecah rumah sekitar Selangor
Polis sedang menjejaki seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kegiatan pecah rumah di sekitar Seri Kembangan, Cheras dan Kajang ekoran penahanan lima rakannya pada 27 Okt lepas.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A.Thaiveegan berkata lelaki itu ialah Lee Yuen Soon, 37, atau lebih dikenali sebagai Ah Soon yang dipercayai ketua kumpulan tersebut yang alamat terakhirnya ialah No. 134 Jalan SK 3/6 43300Seri Kembangan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menyalurkan maklumat di Balai Polis Seri Kembangan atau menghubungi terus Sarjan Mohd Adnan di talian 013-3444771,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Seri Kembangan hari ini.
Beliau berkata polis menjejaki lelaki terbabit selepas lima rakannya yang berumur antara 30 hingga 40 tahun ditahan di sebuah rumah sewa di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan yang dijadikan pusat kegiatan mereka.
“Kesemua mereka ditahan ketika selesai melakukan kegiatan pecah rumah. Ketika serbuan, dua dari mereka berada di ruang tamu, seorang di bilik belakang dan dua lagi di bilik atas,” katanya.
Thaiveegan berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, polis merampas pelbagai barangan berharga termasuk dua buah kereta jenis Toyota Camry, 11 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba, 10 kunci kereta pelbagai jenis yang belum digunakan dan peralatan pecah rumah dengan nilai rampasan keseluruhan RM290,000. Beliau berkata modus operandi mereka ialah melakukan pecah rumah pada waktu pagi.
“Suspek akan membuat pemerhatian awal sebelum melakukan pecah rumah. Mereka memasuki rumah dengan cara merosakkan pagar automatik dan gril serta pintu hadapan rumah serta menggunakan pistol palsu untuk menakutkan penghuni rumah,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka menjalankan aktiviti itu sejak setahun lalu dengan lebih 10 buah rumah telah dipecah masuk.
“Hasil soal siasat ke atas suspek, kesemua mereka mempunyai 10 rekod jenayah lampau antaranya pecah rumah, curi dan mendatangkan kecederaan parah,” katanya.
Katanya reman kesemua suspek yang berakhir hari ini akan disambung selama tujuh hari hari lagi dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah. -BERNAMA
Tip-tip elakkan pecah rumah
| | | |
|
Tinggal di dalam kediaman yang selesa dan selamat adalah impian setiap individu. Memastikan keselamatan kediaman dan penghuninya sentiasa berada dalam keadaan selamat adalah tanggungjawab bersama.
Lazimnya kejadian pecah rumah berlaku ketika penghuni tiada di rumah pada jangka masa yang lama tanpa memberitahu jiran atau polis mengenai ketiadaan penghuni.
Rumah yang ditinggalkan kosong dalam tempoh lama misalnya perlu kelihatan seperti ada penghuni. Justeru jika ada langganan akhbar perlulah dihentikan supaya kediaman tidak kelihatan tidak berpenguni.
Kedudukan rumah di kawasan terpencil tanpa jiran tetangga juga memudahkan pencuri melakukan aktiviti jenayah mereka.struktur rumah juga memainkan peranan mudah dimasuki pencuri terutama jika mempunyai lubang again di bahagian bumbung.
Tiada permuafakatan sesama jiran untuk mengawasi kediaman masing-masing dan jiran tetangga boleh menyebabkan kejadian pecah rumah.
Meletakkan barang bernilai di sekitar atau dalam rumah yang dapat dilihat dari luar turut mengundang pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan jenayah. Penjenayah ada yang menggunakan pemutar skru atau objek tajam mengumpil pintu atau tingkap atau menngunakan jack untuk membuka jerjak besi tingkap.
Bumbung dan siling terbuka juga mengundang pemecah rumah melakukan kegiatan yang tidak bermoral.
Ada juga penjenayah yang menggunakan taktik membuka paip air di luar rumah bagi mengalih perhatian tuan rumah, sebaik tuan rumah membuka pintu, penjenayah akan memsuki rumah secara paksa.
Justeru, jika ada terdenger paip air terbuka di luar rumah di waktu malam, pastikan dan perhatikan dulu sebelum keluar menutupnya kerana dikhuatiri ia adalah perangkap.
Bagi rumah yang mempunyai pintu cermin gelongsor (sliding door), selakkan dengan kayu panjang di bahagian bawahnya bagi mengelakkan ia diumpil dari luar.
Antara keadah pencegahan lain ialah, sebelum meninggalkan rumah untuk jangka masa yang lama terutama di maklumkan ke balai polis terdekat mengenai alamat rumah, tarikh dan masa anda tidak berada di rumah.
Tinggalkan maklumat secukupnya bagi memudahkan jiran dan polis memaklumkan sebarang kejadian kepada anda.
Alat keselamatan tambahan boleh dipasang di pintu utama seperti lubang pandangan, mangga dan selak keselamatan untuk menggagalkan aktiviti jenayah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sentiasa pasangan lampu apabila keluar rumah di waktu malam. Jangan tinggalkan sebarang nota yang boleh membantu pemecah rumah bertindak
Jalinkan hubungan baik dengan jiran bagi membolehkan mereka menjenguk- jenguk di kawasan rumah terutama apabila ke tempat kerja atau bercuti.
Pastikan pintu, tingkap dan pintu pagar berkunci sebelum meninggalkan rumah atau tidur.
Pasangkan sistem penggera keselamatan.
Kawasan rumah perlulah sentiasa dibersihkan bagi mengelakkan semak samun dan belukar yang mudah menjadi tempat persempunyai penjenayah. |